Sembahyang Sebagai Salah Satu Rukun Islam
December 14th, 2009Bab Sembahyang Sebagai Salah Satu Rukun Islam
Diriwayatkan daripada Thalhah bin Ubaidillah r.a katanya: Seorang penduduk Najd telah datang mengadap Rasulullah s.a.w dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu sembahyang sunat. Seterusnya kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadhan. Lalu lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu puasa sunat. Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela iaitu sedekah. Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia amat beruntung sekiranya membenarkan iaitu menepati apa yang telah diucapkannya.
Riwayat :
- Bukhari – Kitab Iman (Hadith No. 44), Kitab Puasa (Hadith No. 1758), Kitab Penyaksian (Hadith No. 2481) & Kitab Helah (Hadith No. 6442)
- Muslim – Kitab Iman (Hadith No. 12)
- Nasaie – Kitab Sembahyang (Hadith No. 454), Kitab Puasa (Hadith No. 2063) & Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith No. 4942)
- Abu Daud – Kitab Sembahyang (Hadith No. 331) & Kitab Sumpah Dan Nazar (Hadith No. 2830)
- Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 1 (Muka Surat 162)
- Malik – Kitab Memendekkan Sembahyang Semasa Musafir (Hadith No. 382)
- Ad-Darimi – Kitab Sembahyang (Hadith No. 1532)

Leave a Reply