Tag: Abu Daud

Iman Seseorang Berkurangan Kerana Berkurangnya Ketaatan Iaitu Ibadat Dan Keterangan Terhadap Penggunaan Lafaz Kufur Kepada Perkara Lain Selain Dari Kufur Kepada Allah, Seperti Kufur Kepada Nikmat Dan Hak-hak Iaitu Kewajipan

December 21st, 2009

Iman Seseorang Berkurangan Kerana Berkurangnya Ketaatan Iaitu Ibadat Dan Keterangan Terhadap Penggunaan Lafaz Kufur Kepada Perkara Lain Selain Dari Kufur Kepada Allah, Seperti Kufur Kepada Nikmat Dan Hak-hak Iaitu Kewajipan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.

Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?

Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu.

Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?

Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Haid (Hadith no. 293) & Kitab Zakat (Hadith no. 1369)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 114)
  • Nasaie – Kitab Sembahyang Sunat Dua Hari Raya (Hadith no. 1558 & 1561)
  • Abu Daud – Kitab Sunnah (Hadith no. 4059)
  • Ibnu Majah – Kitab Penempatan (Hadith no. 1278) & Kitab Fitnah (Hadith no. 3993)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 66) & Kitab Juzuk 3 (Muka Surat 36, 42 & 54)

Bab Kekafiran Seorang Yang Menyatakan: Kita Dituruni Hujan Oleh Bintang Tertentu

December 17th, 2009

Bab Kekafiran Seorang Yang Menyatakan: Kita Dituruni Hujan Oleh Bintang Tertentu

Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya:

Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang bersama kami di Hudaibiah, selepas hujan turun pada malam tersebut. Setelah selesai sembahyang, baginda menghadap kepada kaum muslimin, lalu bersabda: Tahukah kamu apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu? Para kaum muslimin menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui, lalu baginda bersabda: Allah berfirman: Di antara hamba-hambaKu, ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kafir. Maka barangsiapa yang menyatakan: Kita dituruni hujan dengan anugerah dan rahmat Allah, orang itu beriman kepadaKu dan tidak beriman terhadap bintang-bintang. Sebaliknya orang yang berkata: Kita dituruni hujan oleh bintang ini atau bintang itu, maka orang tersebut kafir terhadapKu dan beriman kepada bintang-bintang.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Azan (Hadith no. 801), Kitab Jumaat (Hadith no. 980), Kitab Maghazi (Hadith no. 3832) & Kitab Tauhid (Hadith no. 6949)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 104)
  • Nasaie – Kitab Meminta Hujan (Hadith no. 1508)
  • Abu Daud – Kitab Perubatan (Hadith no. 3407)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 4 (Muka Surat 116, 117 & 118)
  • Malik – Kitab Meminta Hujan (Hadith no. 405)