Tag: Abu Hurairah r.a

Bab Beriman Kepada Allah Taala Merupakan Amalan Yang Paling Utama

December 21st, 2009

Bab Beriman Kepada Allah Taala Merupakan Amalan Yang Paling Utama.

Terdapat 3 hadith yang berkenaan dengan hadith ini ;

1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apakah amalan yang paling utama?

Baginda bersabda: Beriman kepada Allah.

Sahabat bertanya lagi: Kemudian apa?

Rasulullah s.a.w bersabda: Jihad pada jalan Allah iaitu berjuang pada jalan Allah dan Sahabat bertanya lagi: Kemudian apa?

Rasulullah s.a.w bersabda: Haji Mabrur iaitu ibadat Haji yang diterima.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Iman (Hadith no. 25)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 118)
  • Tirmizi – Kitab Kelebihan Jihad (Hadith no. 1582)
  • Nasaie – Kitab Ibadat Haji (Hadith no. 2577), Kitab Jihad (Hadith no. 3079) & Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no. 4899)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 258, 264, 268, 287, 308, 348, 388, 442, 521 & 531)
  • Ad-Darimi – Kitab Jihad (Hadith no. 2286)

~~~~~

2) Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya:

Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama?

Rasulullah s.a.w bersabda: Beriman kepada Allah dan berjuang pada jalanNya.

Aku bertanya: Hamba yang bagaimanakah paling utama?

Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang paling baik menurut pemiliknya dan paling banyak harganya.

Aku bertanya lagi: Bagaimana Jika aku tidak bekerja?

Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau boleh membantu orang yang bekerja atau berkerja untuk orang yang tidak memiliki pekerjaan.

Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku tidak mampu melakukan sebahagian dari amalan?

Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah memberhentikan kejahatanmu terhadap orang lain kerana, hal itu merupakan sedekah darimu kepada dirimu.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Memerdekakan Hamba (Hadith no. 2334)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 119)
  • Nasaie – Kitab Jihad (Hadith no. 3078)
  • Ibnu Majah – Kitab Memerdekakan Hamba (Hadith no. 2514)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 150, 163 & 171)
  • Ad-Darimi – Kitab Meminta Simpati (Hadith no. 2621)

~~~~~

3) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya:

Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama?

Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.

Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?

Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua.

Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?

Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.

Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Waktu Sembahyang (Hadith no. 496)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 120)
  • Tirmizi – Kitab Sembahyang (Hadith no. 158) & Kitab Kebaikan Dan Hubungan Kekeluargaan (Hadith no. 1820)
  • Nasaie – Kitab Waktu (Hadith no. 606 & 607)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 1 (Muka Surat 409, 418, 421, 439, 442, 444, 448 & 451)
  • Ad-Darimi – Kitab Sembahyang (Hadith no. 1197)

Bab Keadaan Iman Seorang Yang Tidak Mengakui Ayahnya Sedangkan Dia Mengetahuinya

December 17th, 2009

Bab Keadaan Iman Seorang Yang Tidak Mengakui Ayahnya Sedangkan Dia Mengetahuinya

Terdapat 3 hadith yang berkenaan dengan perkara ini ;

1) Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya :

Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang mengaku keturunannya selain dari ayahnya, padahal dia mengetahuinya, pastilah dia kafir iaitu mengingkari nikmat dan kebaikan, tidak memenuhi hak Allah dan hak ayahnya. Sesiapa mengaku sesuatu yang bukan menjadi miliknya, maka dia tidak tergolong dari golongan kami dan hendaknya dia mempersiapkan tempatnya di Neraka. Sesiapa memanggil seseorang dengan kafir atau menyatakan musuh Allah, padahal sebenarnya tidak demikian, maka tuduhan itu akan kembali kepada dirinya.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab (Hadith no.
    Muslim – Kitab Iman (Hadith no.
    Tirmizi – Kitab (Hadith no.
    Nasaie – Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no.
    Abu Daud – Kitab (Hadith no.
    Ibnu Majah – Kitab (Hadith no.
    Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk
    Ad-Darimi – Kitab (Hadith no.
  • Bukhari – Kitab Sifat-sifat Terpuji (Hadith no. 3246) & Kitab Etika (Hadith no. 5585)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 93)
  • Ibnu Majah – Kitab Ahkam (Hadith no. 2310)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 166 & 181)

2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya :

Sesungguhnya Rasulullah s.aw bersabda: Janganlah kamu membenci bapa-bapa kamu. Barangsiapa membenci ayahnya bererti dia kafir.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Faraid (Hadith no. 6270)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 94)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 526)

3) Diriwayatkan daripada Saad bin Abu Waqqas r.a katanya:

Kedua telingaku mendengar daripada Rasulullah s.a.w yang bersabda: Barangsiapa mengaku ayah semasa Islam selain dari ayahnya, sedangkan dia tahu bahawa itu bukanlah ayahnya, maka diharamkan kepadanya memasuki Syurga.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Maghazi (Hadith no. 3982)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 95)
  • Abu Daud – Kitab Etika (Hadith no. 4449)
  • Ibnu Majah – Kitab Hudud (Hadith no. 2600)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 1 (Muka Surat 169, 174 & 179) dan Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 38 & 46)
  • Ad-Darimi – Kitab Strategi (Hadith no. 2418) & Kitab Faraid (Hadith no. 2736)