Tag: Keluarkanlah zakat

Bab Iman Penyebab Utama Masuk Syurga Dan Orang Yang Mematuhi Apa Yang Diperintahkan Akan Memasuki Syurga

December 15th, 2009

Bab Iman Penyebab Utama Masuk Syurga Dan Orang Yang Mematuhi Apa Yang Diperintahkan Akan Memasuki Syurga

Terdapat 2 hadith yang berkenaan dengan bab ini;

1) Hadith Abu Ayub al-Ansari r.a :

Seorang lelaki kampung yang dalam keadaan musafir telah mengadap Rasulullah s.a.w, lalu dia memegang tali unta baginda. Kemudian lelaki tersebut berkata: Wahai Muhammad! Ceritakanlah kepadaku perkara yang boleh mendekatkanku kepada Syurga dan menjauhkanku dari Neraka.

Rasulullah s.a.w tidak segera menjawab, sebaliknya baginda memandang ke arah para Sahabat sambil bersabda: Sesungguhnya dia adalah orang yang telah mendapat petunjuk.

Kemudian baginda bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah perkara yang engkau tanyakan tadi?

Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya.

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat dan pulihkanlah hubungan kekeluargaan. Sekarang lepaskanlah unta ini.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Zakat (Hadith no. 1309)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 14)
  • Nasaie – Kitab Sembahyang (Hadith no. 464)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 418)

2) Hadis Abu Hurairah r.a :

Seorang lelaki kampung telah datang mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku memasuki Syurga.

Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardhukan dan keluarkanlah zakat yang diwajibkan serta berpuasa pada bulan Ramadhan.

Lalu orang itu berkata: Demi Allah yang berkuasa ke atas diriku, aku tidak akan menambah atau menguranginya sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku.

Setelah orang itu beredar Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sesiapa yang ingin melihat ahli Syurga maka lihatlah kepada lelaki ini.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Zakat (Hadith no. 1310)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 16)

Sembahyang Sebagai Salah Satu Rukun Islam

December 14th, 2009

Bab Sembahyang Sebagai Salah Satu Rukun Islam

Diriwayatkan daripada Thalhah bin Ubaidillah r.a katanya: Seorang penduduk Najd telah datang mengadap Rasulullah s.a.w dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam.

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu sembahyang sunat. Seterusnya kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadhan. Lalu lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu puasa sunat. Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela iaitu sedekah. Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia amat beruntung sekiranya membenarkan iaitu menepati apa yang telah diucapkannya.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Iman (Hadith No. 44), Kitab Puasa (Hadith No. 1758), Kitab Penyaksian (Hadith No. 2481) & Kitab Helah (Hadith No. 6442)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith No. 12)
  • Nasaie – Kitab Sembahyang (Hadith No. 454), Kitab Puasa (Hadith No. 2063) & Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith No. 4942)
  • Abu Daud – Kitab Sembahyang (Hadith No. 331) & Kitab Sumpah Dan Nazar (Hadith No. 2830)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 1 (Muka Surat 162)
  • Malik – Kitab Memendekkan Sembahyang Semasa Musafir (Hadith No. 382)
  • Ad-Darimi – Kitab Sembahyang (Hadith No. 1532)