Tag: Kitab Juzuk 3

Iman Seseorang Berkurangan Kerana Berkurangnya Ketaatan Iaitu Ibadat Dan Keterangan Terhadap Penggunaan Lafaz Kufur Kepada Perkara Lain Selain Dari Kufur Kepada Allah, Seperti Kufur Kepada Nikmat Dan Hak-hak Iaitu Kewajipan

December 21st, 2009

Iman Seseorang Berkurangan Kerana Berkurangnya Ketaatan Iaitu Ibadat Dan Keterangan Terhadap Penggunaan Lafaz Kufur Kepada Perkara Lain Selain Dari Kufur Kepada Allah, Seperti Kufur Kepada Nikmat Dan Hak-hak Iaitu Kewajipan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.

Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?

Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu.

Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?

Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Haid (Hadith no. 293) & Kitab Zakat (Hadith no. 1369)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 114)
  • Nasaie – Kitab Sembahyang Sunat Dua Hari Raya (Hadith no. 1558 & 1561)
  • Abu Daud – Kitab Sunnah (Hadith no. 4059)
  • Ibnu Majah – Kitab Penempatan (Hadith no. 1278) & Kitab Fitnah (Hadith no. 3993)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 66) & Kitab Juzuk 3 (Muka Surat 36, 42 & 54)

Dalil Yang Menunjukkan Bahawa Menyintai Sahabat Ansar Sebahagian Dari Iman Serta Tanda-tandanya Dan Sesiapa Membenci Mereka Merupakan Sebahagian Dari Tanda-tanda Munafik

December 21st, 2009

Dalil Yang Menunjukkan Bahawa Menyintai Sahabat Ansar Sebahagian Dari Iman Serta Tanda-tandanya Dan Sesiapa Membenci Mereka Merupakan Sebahagian Dari Tanda-tanda Munafik.

Terdapat 2 hadith yang berkenaan dengan perkara ini;

1) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Tanda orang Munafik adalah membenci Sahabat Ansar dan tanda orang Mukmin adalah menyintai Sahabat Ansar.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Iman (Hadith no. 16) & Kitab Sifat-sifat Terpuji (Hadith no. 3500)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 108)
  • Nasaie – Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no. 4933)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 3 (Muka Surat 130, 134 & 249)

~~~~~

2) Hadith al-Bara’ r.a:

Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w bahawa baginda telah bersabda mengenai golongan Ansar: Golongan Ansar tidak dicintai oleh orang lain kecuali orang yang beriman dan mereka tidak dibenci oleh orang lain kecuali orang yang munafik. Sesiapa yang menyintai mereka, maka Allah akan menyintainya. Sesiapa yang membenci mereka, maka Allah akan membencinya.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Sifat-sifat Terpuji (Hadith no. 3499)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 110)
  • Tirmizi – Kitab Sifat-sifat Terpuji (Hadith no. 3835)
  • Ibnu Majah – Kitab Pendahuluan (Hadith no. 159)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 4 (Muka Surat 283 & 292)