December 17th, 2009
Bab Kekafiran Seorang Yang Menyatakan: Kita Dituruni Hujan Oleh Bintang Tertentu
Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang bersama kami di Hudaibiah, selepas hujan turun pada malam tersebut. Setelah selesai sembahyang, baginda menghadap kepada kaum muslimin, lalu bersabda: Tahukah kamu apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu? Para kaum muslimin menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui, lalu baginda bersabda: Allah berfirman: Di antara hamba-hambaKu, ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kafir. Maka barangsiapa yang menyatakan: Kita dituruni hujan dengan anugerah dan rahmat Allah, orang itu beriman kepadaKu dan tidak beriman terhadap bintang-bintang. Sebaliknya orang yang berkata: Kita dituruni hujan oleh bintang ini atau bintang itu, maka orang tersebut kafir terhadapKu dan beriman kepada bintang-bintang.
Riwayat :
- Bukhari – Kitab Azan (Hadith no. 801), Kitab Jumaat (Hadith no. 980), Kitab Maghazi (Hadith no. 3832) & Kitab Tauhid (Hadith no. 6949)
- Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 104)
- Nasaie – Kitab Meminta Hujan (Hadith no. 1508)
- Abu Daud – Kitab Perubatan (Hadith no. 3407)
- Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 4 (Muka Surat 116, 117 & 118)
- Malik – Kitab Meminta Hujan (Hadith no. 405)
December 16th, 2009
Bab Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga.
Terdapat 4 hadith yang berkaitan dengan bab ini;
1) Diriwayatkan daripada Ubadah bin As-Somit r.a katanya :
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ dan bersaksi bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, anak hambanya dan kalimah Allah iaitu Nabi Isa a.s dijadikan oleh Allah tidak berbapa hanya dengan kalimah KUN yang bererti jadilah engkau maka jadilah dia yang disampaikan kepada Mariam dan juga tiupan roh daripadaNya, serta bersaksi bahawa balasan Syurga adalah pasti begitu juga balasan Neraka adalah pasti di mana Allah akan memasukkan mereka yang dikehendaki ke dalam Syurga melalui salah satu dari lapan pintu Syurga sebagaimana yang dikehendakinya.
Riwayat :
- Bukhari – Kitab Cerita-cerita Para Nabi (Hadith no. 3180)
- Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 41)
- Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 313 & 325)
2) Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal r.a katanya:
Pernah aku mengekori Nabi s.a.w dalam satu perjalanan di mana aku berada di belakang baginda. Baginda memanggil: Wahai Muaz bin Jabal! Aku terus menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan.
Kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut lagi: Telah keterima panggilanmu itu wahai Rasulullah.
Baginda bersabda: Tahukah kamu kewajipan manusia terhadap Allah?
Aku menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui.
Baginda bersabda: Kewajipan manusia terhadap Allah ialah dengan mengabdikan diri kepadaNya tanpa menyekutukanNya.
Kami meneruskan lagi perjalanan beberapa ketika kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah.
Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah engkau apakah kewajipan Allah terhadap manusia apabila mereka melakukan perkara-perkara yang aku nyatakan di atas?
Aku menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui.
Akhirnya baginda bersabda: Allah tidak akan menyiksa mereka.
Riwayat :
- Bukhari – Kitab Jihad Dan Strateginya (Hadith no. 2644), Kitab Pakaian (Hadith no. 5510), Kitab Meminta Izin (Hadith no. 5796), Kitab Meminta Simpati (Hadith no. 6019) & Kitab Tauhid (Hadith no. 6825)
- Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 43)
- Tirmizi – Kitab Iman (Hadith no. 2567)
- Abu Daud – Kitab Jihad (Hadith no. 2196)
- Ibnu Majah – Kitab Zuhud (Hadith no. 4286)
- Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 228, 230, 234, 236, 238 & 242)
3) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya :
Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah.
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ nescaya terselamatlah dia dari api Neraka.
Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah.
Riwayat :
- Bukhari – Kitab Ilmu (Hadith no. 125)
- Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 47)
- Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 228, 230, 236 & 242)
4) Hadis Itban bin Malik r.a :
Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie’ r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Kata beliau: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musalla iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para Sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para Sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para Sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka.
Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Para Sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati.
Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka.
Riwayat :
- Bukhari – Kitab Sembahyang (Hadith no. 406 & 407), Kitab Azan (Hadith no. 627, 645 & 795), Kitab Maghazi (Hadith no. 3708) & Kitab Makanan (Hadith no. 4982)
- Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 48)
- Nasaie – Kitab Kepimpinan (Hadith no. 780 & 835) & Kitab Sujud Sahwi (Hadith no. 1310)
- Ibnu Majah – Kitab Masjid Dan Jemaah (Hadith no. 746)
- Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 4 (Muka Surat 43 & 44) dan Kitab Juzuk 5 (Muka Surat 449 & 450)
- Malik – Kitab Seruan Untuk Sembahyang (Hadith no. 377)