Tag: Mengucap Dua Kalimah Syahadat

Bab Menyeru Kepada Dua Kalimah Syahadat Dan Syariat-syariat Islam

December 15th, 2009

Bab Menyeru Kepada Dua Kalimah Syahadat Dan Syariat-syariat Islam

Diriwayatkan daripada Muaz r.a katanya :

Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya berhati-hati terhadap harta mereka dan takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah mustajab.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Zakat (Hadith no. 1308, 1365 & 1401) Kitab Orang Yang Dizalimi Dan Dicerobohi (Hadith no. 2268) Kitab Maghazi (Hadith no. 4000) & Kitab Tauhid (Hadith no. 6823 & 6824)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 27)
  • Tirmizi – Kitab Zakat (Hadith no. 567)
  • Nasaie – Kitab Zakat (Hadith no. 2392)
  • Abu Daud – Kitab Zakat (Hadith no. 1351)
  • Ibnu Majah – Kitab Zakat (Hadith no. 1773)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 1 (Muka Surat 233)
  • Ad-Darimi – Kitab Zakat (Hadith no. 1563)

Bab Perintah Supaya Beriman Kepada Allah s.w.t Dan Rasul Nya s.a.w. Hukum hukum Agama Serta Seruan Kepadanya. Menuntut Ilmu, Memelihara Dan Menyampaikannya Kepada Orang Yang Tidak Sampai Seruan

December 15th, 2009

Bab Perintah Supaya Beriman Kepada Allah s.w.t Dan Rasul Nya s.a.w., Hukum hukum Agama Serta Seruan Kepadanya. Menuntut Ilmu, Memelihara Dan Menyampaikannya Kepada Orang Yang Tidak Sampai Seruan

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Rombongan Abdul Qais telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Kami berasal dari perkampungan Rabi’ah. Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak dapat datang menemuimu kecuali pada bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Oleh yang demikian, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan kami sampaikan kepada orang lain.

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat perkara. Iaitu beriman kepada Allah. Kemudian baginda menjelaskannya kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu agar tidak membuat arak di dalam bekas yang diperbuat dari labu, bekas yang diperbuat dari tanah, bekas yang diperbuat secara melubangkan batang pokok atau bekas yang dilumur dengan tar.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Iman (Hadith no. 51)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 23)
  • Tirmizi – Kitab Strategi (Hadith no. 1525) & Kitab Iman (Hadith no. 2536)
  • Nasaie – Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no. 4945) & Kitab Minuman (Hadith no. 5453, 5549 & 5597)
  • Abu Daud – Kitab Minuman (Hadith no. 3205, 3207 & 3210) dan Kitab Sunnah (Hadith no. 4057)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 1 (Muka Surat 228, 274, 291, 304, 341 & 361)