Tag: Rukun Islam

Bab Pertanyaan Mengenai Rukun Islam

December 15th, 2009

Bab Pertanyaan Mengenai Rukun Islam

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:

Kami dilarang bertanya sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. Maka kami merasa amat bertuah apabila seorang kampung yang cukup bijak datang mengadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada baginda di mana kami dapat mendengar perbualannya.

Kemudian datang pula seorang lelaki dari daerah pendalaman lalu bertanya baginda: Wahai Muhammad! Utusanmu telah datang kepada kami dan menyatakan kepada kami bahawa engkau telah diutuskan oleh Allah.

Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Sekiranya benar, siapakah yang menciptakan lagit?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Siapakah yang menciptakan bumi?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Kemudian lelaki tersebut bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-ganang dan menjadikannya sebagaimana sekarang?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Lelaki tersebut terus bertanya: Demi Pencipta langit dan bumi serta menegakkan gunung-ganang, adakah Allah yang telah mengutuskanmu?

Rasulullah s.a.w. menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki itu bertanya lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mendirikan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut bertanya: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengeluarkan zakat dari harta kami.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu juga mendakwa bahawa kami diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan setiap tahun.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengerjakan Haji di Baitullah, sekiranya berkemampuan.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Kemudian lelaki tersebut beredar sambil berkata: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak akan menambah atau mengurangi apa yang telah engkau jelaskan.

Setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut, baginda pun bersabda: Sekiranya dia membenarkan sebagaimana yang diucapkannya nescaya dia akan masuk Syurga.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Ilmu (Hadith no. 61)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 13)
  • Tirmizi – Kitab Zakat (Hadith no. 562)
  • Nasaie – Kitab Puasa (Hadith no. 2064, 2065 & 2066)
  • Abu Daud – Kitab Sembahyang (Hadith no. 411)
  • Ibnu Majah – Kitab Penempatan (Hadith no. 1392)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 3 (Muka Surat 168)
  • Ad-Darimi – Kitab Pendahuluan (Hadith no. 648)

Sembahyang Sebagai Salah Satu Rukun Islam

December 14th, 2009

Bab Sembahyang Sebagai Salah Satu Rukun Islam

Diriwayatkan daripada Thalhah bin Ubaidillah r.a katanya: Seorang penduduk Najd telah datang mengadap Rasulullah s.a.w dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam.

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu sembahyang sunat. Seterusnya kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadhan. Lalu lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu puasa sunat. Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela iaitu sedekah. Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia amat beruntung sekiranya membenarkan iaitu menepati apa yang telah diucapkannya.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Iman (Hadith No. 44), Kitab Puasa (Hadith No. 1758), Kitab Penyaksian (Hadith No. 2481) & Kitab Helah (Hadith No. 6442)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith No. 12)
  • Nasaie – Kitab Sembahyang (Hadith No. 454), Kitab Puasa (Hadith No. 2063) & Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith No. 4942)
  • Abu Daud – Kitab Sembahyang (Hadith No. 331) & Kitab Sumpah Dan Nazar (Hadith No. 2830)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 1 (Muka Surat 162)
  • Malik – Kitab Memendekkan Sembahyang Semasa Musafir (Hadith No. 382)
  • Ad-Darimi – Kitab Sembahyang (Hadith No. 1532)